Ahad, 28 November 2010

Dokumentasikan sejarah Pahang

KUALA LIPIS 26 Nov. - Persatuan Sejarah Pahang (PSP) digesa lebih proaktif mengumpul bahan dan artifak berhubung asal usul keturunan orang Melayu negeri ini bagi tujuan dokumentasi.

Pengerusi Jawatakuasa Kemudahan Asas dan Pertumbuhan Bandar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, persatuan berkenaan tidak perlu menunggu pendedahan di media untuk bertindak melaksanakan dokumentasi.

Beliau berkata, banyak bahan bertulisan jawi berhubung jurai keturunan tertentu yang hampir pupus perlu diselamatkan oleh persatuan berkenaan.

''Saya dapati masih banyak jurai atau waris keturunan orang Melayu negeri ini masih belum didokumentasi dengan sempurna dan sesetengahnya cuma ada dalam ingatan waris tertua berkenaan.

''Tugas ini bukanlah sukar bagi pihak PSP memperoleh bahan. Hanya perlu ada koordinasi dengan ketua waris berkenaan untuk mendapatkan maklumat sejarah termasuk gambar dan bahan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Orang Kaya Haji Pahang (Perkaya) kali ketiga di Kampung Budu, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Perkaya, Wan Jamaludin Wan Bidin dan waris tertua yang juga cucu Orang Kaya Haji Pahang, Wan Bidin Wan Idris, 85.

Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta memberitahu, Pahang mempunyai ramai tokoh sejarah, sasterawan dan bekas wartawan yang boleh berkongsi kepakaran serta pengalaman bagi tujuan pendokumentasian.

Menurutnya, Muzium Negeri dan Muzium Negara juga boleh membantu melakukan kerja-kerja dokumentasi serta pemuliharaan artifak berkenaan.

''Usaha ini amat penting bagi kerajaan negeri memulihara warisan sejarah keturunan di negeri ini yang berkait rapat dengan istana dan pembesar Pahang sejak 600 tahun lalu untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata, PSP dan agensi yang terbabit sewajarnya mencontohi masyarakat Barat yang menghargai nilai sejarah bangsa dan negara sendiri walaupun berhadapan dengan ledakan industri serta teknologi moden.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Soffi meminta ahli Perkaya dan persatuan waris keturunan lain di negeri ini menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh memanfaatkan ahli keluarga masing-masing.

''Kita berbangga dengan perpaduan di kalangan keluarga masing-masing tetapi pada masa sama, projek berbentuk pembangunan pendidikan, ekonomi atau keusahawanan perlu menjadi pengisian dalam persatuan itu.

''Misalnya, kesepakatan ahli keluarga berkenaan boleh memajukan tanah terbiar masing-masing dengan projek perladangan komersial, membentuk koperasi keluarga dan membantu kecemerlangan anak serta cucu dalam bidang pendidikan," katanya.

Beliau menambah, persatuan waris keturunan orang Melayu di negeri ini wajar mencontohi masyarakat Cina yang mempunyai pelbagai keturunan yang berjaya membangunkan empayar perniagaan masing-masing sehingga mampu bertapak di peringkat antarabangsa.

Tiada ulasan: