"Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat." – (Surah An-Nisaa: 1)
Isnin, 22 Disember 2008
Ahad, 14 Disember 2008
Kepentingan Salasilah(Teromba)
Salasilah keturunan seseorang itu amat penting diketahui dalam masyarakat manusia bertamadun. Menjejaki asal usul keturunan seseorang boleh memberi manfaat kepada hubungan silaturahim kaum kerabat; dan merapat dan mengekalkan hubungan silaturahim sangatlah dituntut dalam Islam.
Allah berfirman:
"Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturrahim kaum kerabat." – (Surah An-Nisaa: 1)
Dalam sebuah hadis Qudsi pula Allah berfirman:
"Barang siapa yang memutuskan tali kekeluargaan, akan aku putuskan hubunganKu dengan dia. Dan barangsiapa menyambungkan tali kekeluargaan, Akupun akan mengukuhkan tali kekeluargaannya nanti."
Lebih daripada itu diriwayatkan dalam banyak hadis bahawa amalan silaturrahim akan memakmurkan rumah dan menambah usia walaupun para pelakunya bukan orang baik-baik. Amalan silaturrahim ini akan membersihkan segala amalan kita yang lain serta melipatgandakan kekayaan dan menolak bala..
Hadis Jubair bin Mut'im r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan (Silaturahim). [1].
Mencari atau menjejak waris yang dilakukan oleh orang-orang Melayu di era penjajahan British, terutamanya di kalangan orang-orang kampung amatlah ketara atas beberapa sebab seperti berikut.
a. Masalah perhubungan pada zaman dahulu abad ke-18 -19 mundur menyebabkan seseorang itu merasai sedih dan gusar untuk merantau jauh dari kampung halaman. Apabila ada mana-mana keluarga atau ahli keluarga yang hendak keluar mencari nafkah atau mencuba nasib ke tempat yang agak jauh dari kampung, akan diadakan satu majlis perpisahan dan doa selamat kerana kebanyakan yang keluar itu akan terus berhijrah dan tinggal di perantauan sehingga berkampung di tempat baru itu sampai beranak cucu, tidak pulang- pulang ke kampung asal kecuali untuk menziarahi sanak saudara yang masih ada.
b. Anak cucu generasi baru yang sudah tidak kenal kampung asal datuk nenek mereka biasanya akan dibawa sekali sekala balik ke kampung asal mereka untuk mengenal waris dan asal usul serta mengetahui salasilah mereka. Tetapi kebanyakan daripada mereka langsung tidak berpeluang untuk berbuat demikian disebabkan kesukaran perhubungan: tiada jalan raya, tiada pengangkutan. Yang ada pada zaman itu ialah kapal atau perahu layar. Jika ikut daratan terpaksa meredah hutan belantara mengikut laluan berjalan kaki.
c. Maka itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menceritakan secara terperinci susur galur salasilah mereka kepada anak cucu supaya tidak berlaku masalah seperti perbalahan/pergaduhan antara sesama saudara mara dan perkahwinan antara adik beradik kandung. Masalah perkahwinan adik dengan abang kandung atau kakak dengan adik kandung ini boleh berlaku kerana sudah lumrah suami yang pergi merantau terus kekal di perantauan, berkahwin baru dan mendapat anak-anak pula di tempat baru, manakala di kampung asal sudah ada isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Perpisahan yang terus menerus tidak balik-balik dan tidak memperkenalkan anak-anak isteri baru dengan anak-anak isteri lama boleh memungkinkan berlaku perkahwinan mahram ini.
Kini, lain pula budayanya. Minat untuk mencari waris, menjejak kasih tidak lagi menjadi keutamaan di kalangan orang kita. Inilah akibat dari arus pembangunan dan pemodenan. Sifat nafsi-nafsi sudah berleluasa, terutamanya di kalangan penduduk bandar.
CADANGAN
Dengan kemajuan ICT sekarang terdapat beberapa ‘Software’ seperti yang dibangunkan oleh Geni yang mampu menyimpan segala maklumat seperti e-mail, map(lokasi), Foto, saudara mara kita setelah dimasukan segala data ke dalam Internet (Geni). Pengendalian sungguh mudah dan boleh di link terus ke dalam personal Blog kita. Selamat mencuba “KLIK DI SINI”.
Sabtu, 13 Disember 2008
Selasa, 9 Disember 2008
Sejarah Dato' Linggi 2
SEJARAH DATO’ LINGGI DAN PEMBUKAAN KAMPONG RELONG.
1. Sejarah berpandukan Salasilah Keturunan Dato’ Linggi
Merujuk kepada Salasilah Dato’ Linggi[1] yang disimpan dan dikemaskinikan oleh En. Abdul Karim bin Ali PJK, salasilah tersebut mempunyai paksi berbentuk bulatan yang tertera perkataan “Inilah Salasilah Dato’ Linggi, makamnya bawah Kundang Kuala Relong, buka Kampung Relong tahun 1795, Dato’ Linggi atau Lihi”.
Persoalan yang timbul disini ialah siapakah Dato’ Linggi dan apakah nama sebenar Dato’ Linggi yang boleh mengaitkan baginda dengan Kesultanan Johor-Riau?
Adakah Salasilah Keturunan Tok Linggi yang disimpan dan masih dikemaskinikan oleh penduduk Kg Relong ini merupakan satu-satunya salasilah yang ada?
Mungkinkah masih terdapat salasilah-salasilah yang sama yang disimpan oleh waris-waris keturunan baginda yang lain?
Yang mungkin ditinggalkan atau menetap disepanjang perjalanan baginda sehingga baginda membuka dan menetap di Kg Relong?
Sebahagian daripada persoalan ini terjawab dengan penemuan satu lagi Salasilah Dato’ Linggi[2] yang diperolehi daripada Tuan Haji Omar Mokthar bin Abdul Kadir iaitu Ketua Kg Relong sekarang dimana salasilah ini juga mempunyai paksi yang berbentuk bulatan yang tertera perkataan
“Inilah Salasilah Dato’ Ahmad yang berasal dari Lingga Indonesia yang membuka Kampong Relong dikenali ‘Dato’ Linggi’ makamnya di Kuala Relong, salinan asal 28/10/1907, salinan semasa 1/3/1996”.
Secara keselurahannya kedua-dua salasilah ini tidak banyak perbezaan cuma keturunan salah seorang daripada anak kepada Dato’ Linggi iaitu ‘Ali dicatitkan didalam Salasilah[2] tetapi tidak tercatit didalam Salasilah[1].
Penambahan nama anak-anak ‘Ali iaitu Tun Mutahir dan Tun Ahmad yang mungkin dilakukan pada 1996 itu merupakan percubaan untuk mengaitkan ‘Ali dengan Bendahara Pahang Tun Ali yang mana andaian tersebut adalah tidak berasas sama sekali. Bagaimana pun terdapat persamaan didalam kedua-dua salasilah ini iaitu; nama-nama tujuh orang anak Dato’ Linggi dinyatakan dengan tepat dan betul cuma susunannya sahaja yang berbeza iaitu didalam Salasilah[1] susunannya ‘Amat, Mamat, Timah, Saleh, ‘Ali, ‘Alas dan Munah manakala didalam Salasilah[2] susunannya ‘Amat, Mamat, Timah, Saleh, ‘Ali, (Imam) Munah dan ‘Alas.
Ini membuktikan bahawa kedua-dua salasilah ini adalah benar dan ianya juga merupakan satu bukti bahawa kedua-dua salasilah ini asalnya ditulis atau disediakan oleh orang-orang yang berbeza. En Abdul Karim bin Ali PJK ada menyatakan bahawa Salasilah[1] yang ada pada beliau datangnya daripada Imam Talib.
Manakala Salasilah[2] yang belum lagi diketahui asal penulisnya telah ditulis pada 28 Oktober 1907.
Salasilah Dato’ Linggi [1] susunannya ‘Amat, Mamat, Timah, Saleh, ‘Ali, ‘Alas dan Munah manakala didalam Salasilah Dato’ Linggi [2] susunannya ‘Amat, Mamat, Timah, Saleh, ‘Ali, (Imam) Munah dan ‘Alas.
SEJARAH DATO’ LINGGI DAN PEMBUKAAN KAMPONG RELONG.
2. Sejarah Dato’ Linggi berdasarkan Koleksi Cerita-cerita
lisan keturunan Dato’ Linggi yang menetap di Kampung
Relong
Cerita-cerita lisan yang diwarisi dari generasi yang terdahulu
banyak memperkatakan kisah-kisah Dato’ Linggi seperti berikut.
1. Dato’ Linggi nama asalnya Dato’ Ahmad juga dikenali sebagai Lihi, Licu, Baginda Lingga
2. Dato’ Linggi pernah menjadi ‘Sultan Kerajaan Johor-Riau’.
3. Dato’ Linggi pernah dijemput oleh Bendahara Pahang pada masa baginda sedang gering, menunjukkan baginda mempunyai pertalian dengan Bendahara.
4. Dato’ Linggi juga merupakan orang yang ahli agama, alim dan warak.
5. Dato’ Linggi dikatakan sampai ke Kampong Relong melalui jalan air (sungai) iaitu mudik Sg. Pahang, Sg. Jelai dan singgah di suatu tempat yang dinamakan ‘Padang Tengku’, bersempena dengan gelaran ‘Tengku’ yang diwarisi oleh Dato’ Linggi. Dari sini beliau mudik sehingga ke Sg. Telang
6. Dari Sg Telang jong atau kapal yang dinaiki oleh Dato’ Linggi telah ditarik dengan rotan sehinggalah sampai ke penghujung iaitu tempat yang dikenali sekarang sebagai Kampong Relong bersempena dengan keadaan kawasan yang lembah dan dikelilingi oleh banjaran/bukit (relong). Kesan laluan jong tersebut membentuk alur sungai yang dinamakan Sungai Teris.
7. Dato’ Linggi datang bersama-sama rombongannya mendirikan perkampungan di Kg Relong dan keturunannya menetap disini sehingga ke hari ini.
8. Dato’ Linggi tidak memakai gelaran Sultan atau Tengku bagi menghidarinya dari pada dikenali oleh orang luar yang mungkin datang untuk membunuhnya?. Anak-anak baginda juga tidak menggunakan gelaran tersebut.
9. Dato’ Linggi pernah dicari oleh orang-orang luar yang mengaku wakil Bendahara tetapi tidak berjumpa kerana baginda menggunakan nama-nama lain seperti yang disebut diatas
rujuk:
Ir. Haji Mazelan b. Haji Abdul Samad
P.Eng, M.I.E.M, ASEAN Eng.
Salasilah Tok Linggi Relong
Permulaan: Salasilah Keluarga Saya.
Sejarah Tok Linggi Kampung Relong Kuala Lipis
Tok Linggi berasal dari Kampung Bukit Meninjau,Sumatera Barat,Indonesia (1790an) berhijrah ke Kampung Relong Kuala Lipis semasa negeri Pahang dipemerintah oleh Bendehara Tun Ali (1782-1857). Sejarah kedatangan Tok Linggi ke kampung ini bermula dimana beliau bersama lima orang adik-beradik telah datang ke Tanah Melayu di mana destinasi pertamanya ialah Negeri Sembilan.Di Negeri Sembilan, adik-beradik ini telah berpecah dengan merantau dimana seorang daripadanya ke Negeri Perak, seorang ke Negeri Johor, dan seorang ke Negeri Selangor. Manakala Tok Linggi dan bersama seorang adiknya meneruskan perjalanan mereka dengan berjalan kaki ke Negeri Inderapura (Pahang) hingga sampai ke tempat yang dinamakan Semantan di Daerah Temerloh.
Tok Linggi meninggalkan adiknya di Semantan, sementara beliau bersama 80 orang pengikutnya meneruskan perjalanan dengan menggunakan perahu, mudik ke hulu Sungai Pahang dan Sungai Jelai dengan dibantu oleh seorang pedagang.Tok Linggi bersama rombongan yang pertama telah sampai ke satu tebing sungai berpasir yang landai dan cantik serta banyak ikan sia datang bermain-main. Beliau telah menamakan tempat tersebut dengan nama Pasir Sia. Selepas itu mereka meneruskan perjalanan dan mendarat di Kampung Beralas dan Kampung Perlak. Mereka meneruskan perjalanan di darat dan berehat di sebuah tanah lapang yang menyerupai sebuah padang. Tok Linggi telah menamakan tempat tersebut sebagai nama Padang Tunggu, kerana di tempat tersebut mereka berehat menunggu rombongan kedua sampai. Kini tempat tersebut dinamakan Padang Tengku.
Tok Linggi bersama rombongan pertama dan kedua seramai 80 orang telah meneruskan perjalanan hingga ke sebuah tempat yang bernama Sungai Damar. Tok Linggi dan rombongan meneruskan lagi perjalanan mereka sehinggalah sampai ke sebuah bukit yang tinggi. Dari atas bukit tersebut beliau telah melihat pemandangan alam semulajadi yang indah serta bentuk di kawasan tersebut seolah-olah seperti sebuah kawah yang merelong. Bukit tersebut dinamakan Bukit Peninjau dan kawasan yang dilihatnya indah dan cantik itu dinamakan Kampung Relong.Tok Linggi dan rombongannya terus menjadikan Kampung Relong sebagai tempat kediaman, dimana tempat pertama beliau menetap adalah di kawasan yang dinamakan Binjai, dan kemudian beliau berpindah pula ke satu kawasan baru yang dikenali sebagai Kuala Teha dan akhirnya di Kuala Relong.
Tok Linggi menetap di Kuala Relong dan meninggal dunia di Kuala Relong dan dikebumikan di sebuah kawasan di tepi Sungai Teris di antara Kuala Teha dan Kuala Relong. Tempat tersebut dinamakan Makam Pusara Tok Linggi hingga ke hari ini dan ia merupakan salah satu tempat bersejarah di Kampung Relong.Tok Linggi atau nama sebenarnya Raja Ahmad telah berkahwin dengan seorang perempuan tempatan di tempat yang bernama Lubuk Yong dan meninggalkan zuriat yang disebut sebagai keturunan Tok Linggi hingga ke hari ini.Tok Linggi telah menamakan beberapa tempat diantaranya ialah Pasir Sia, Perlak, Beralas, Bukit Peninjau, Binjai, Relong, Kuala Teha, Kuala Relong, Sawa dan Geta dengan mengambil nama sempena nama-nama tempat yang terdapat di Sumatera Barat dan Bukit Meninjau juga merupakan tempat asal beliau
Rujuk:
www.toklinggi.cjb.net
KEJADIAN INI KITA BERTABURAN DI MUKA BUMI ALLAH